Friday, February 26, 2016

Puteri Bisu



(Cerita rakyat Turki )



Pada zaman dahulu ada seorang Raja yang memiliki seorang putera. Shahzada, begitulah nama putera ini. Beliau memiliki sebiji bola yang diperbuat daripada emas yang selalu ia mainkan.

Suatu hari semasa putera ini sedang duduk di wakaf di halaman istana, lalu seorang nenek yang hendak mengambil air dari mata air yang terletak di depan gerbang istana. Timbul fikiran nakal di minda sang putera. Dilemparnya buyung nenek tua tadi dengan bola emasnya. Buyung itu pun pecah berkeping-keping.

Tanpa berkata sepatah pun, nenek itu pulang mengambil buyung yang lain. Namun buyung ini pun pecah akibat lemparan bola Shahzada. Nenek tua itu sampai mengeletar menahan marah. Namun kerana segan dengan sang Raja, maka ia hanya diam dan pergi ke kedai berdekatan untuk membeli sebuah buyung dengan cara berhutang.

Sekali lagi Shahzada membaling buyung itu dengan bolanya hingga pecah. Kini nenek itu benar-benar marah. Dia mengangkat wajahnya ke arah Shahzada.
“Camkan sumpahanku ini putera! Aku harap kau akan jatuh cinta kepada Puteri Bisu!”



Putera Shahzada tidak faham maksud nenek tua tersebut, tapi kata-kata itu terus mengganggu fikirannya. Hal itu sampai memperngaruhi kesihatan si putera, sehingga Shahzada pun jatuh sakit. Puluhan doktor, tabib dan dukun telah cuba menubatinya, namun kesihatannya tidak kunjung pulih. Akhirnya suatu malam Raja mendekati putera tunggalnya ini.


“Anakku, penyakitmu pasti bukan penyakit biasa. Beritahu kepadaku! Apakah kebelakangan ini ada peristiwa aneh yang menimpamu?”

Shahzada pun menceritakan kelakuannya semasa memecahkan 3 buyung seorang nenek dan sumpahan yang dilontarkan kepadanya. Lalu Shahzada meminta izin ayahnya untuk pergi mencari Puteri Bisu, beliau pasti hanya puteri itu saja yang dapat menyembuhkannya. Dengan berat hati Raja member izin putera kesayangannya pergi dengan ditemani seorang pengawal yang dipercayainya.


Dipendekkan cerita, Shahzada dan si pengawal peribadi sudah mengembara selama enam bulan. Mereka berjalan siang dan malam dan hanya tidur beberapa saat saja setiap malamnya. Kini mereka tiba di sebuah puncak gunung di mana tanah dan bebatuannya bersinar seperti cahaya matahari. Dengan tercengang-cengang mereka bertanya pada seorang tua yang kebetulan melintas di situ.

Orang tua ini menjawab, “Itu kerana Puteri bisu. Ia memakai 7 lapis kerudung yang menutupi wajahnya. Namun sinar kecantikannya tetap memancar dan terpantul di gunung ini.”

“Dimanakah sang puteri berada?” tanya Shahzada.

“Jika kamu terus berjalan lurus selama enam bulan lagi, kamu akan tiba di istananya,” kata orang tua ini. Dia menyambung lagi, “tapi perlu kuingatkan anak muda! Puteri bisu itu hanyalah julukan. Kerana sang puteri sebenarnya tidak mahu bercakap. Banyak sudah pemuda yang mencuba membuatnya berbicara tapi tidak berhasil. Malang bagi mereka, kerana kematianlah yang perlu mereka terima.”

Shahzada tidak gentar mendengar berita tersebut. Ia tetap bertekad untuk menemui sang Puteri Bisu.

Beberapa waktu kemudian mereka tiba di puncak gunung lainnya. Gunung ini pun sangat aneh kerana semua tanah dan bebatuannya berwarna merah darah. Ada sebuah desa tampak terhampar di kaki gunung tersebut.

“Aku sangat letih,” kata Shahzada. “Mari kita berehat dulu di desa di bawah sana. Sambil itu boleh kita beli apa-apa yang perlu sebagai bekalan.”


Mereka pun masuk ke sebuah warung makan. Pemiliknya menyambut mereka dengan mesra. Shahzada menanyakan kenapa gunung yang baru saja mereka turuni berwarna merah darah.

“Oh itu kerana Putri Bisu. Meskipun ia memakai 7 lapis kerudung yang menutupi wajahnya, namun warna bibirnya tetap terpancar di gunung tersebut,” kata pemilik warung. “Tapi anak muda, sudah banyak pemuda yang mencuba membuat sang puteri bercakap tapi semuanya tidak berjaya. Dan kematian adalah hukuman bagi mereka yang gagal.”

“Aku tidak takut,” kata Shahzada. “Katakanlah, berapa jauh lagi istana sang puteri?”

“Tiga bulan perjalanan lagi kau akan sampai di istananya,” kata pemilik warung.

Setelah perjalanan yang sangat  meletihkan Putera Shahzada dan pengawalnya melihat sebuah lagi gunung. Di puncaknya berdirilah istana yang sangat megah. Itulah istana Puteri Bisu.

Istana Putri Bisu jika dilihat dari dekat ternyata sangat mengerikan kerana dindingnya dibangun dari tulang belulang manusia.

“Kita perlu mengatur rancangan supaya dapat membuat sang puteri itu bercakap, atau tulang belulang kita ini akan menjadi bahagian dari dinding istana ini,” kata Shahzada. “Mari kita cari tempat penginapan terlebih dulu untuk berfikir!”

Esoknya Shahzada dan pengawalnya pergi berjalan-jalan untuk mencari idea. 


Di sebuah pasar ia melihat seekor burung bulbul yang cantik. Shahzada segera membelinya dan membawanya balik ke bilik. 

Suatu ketika saat Shahzada sedang melamun sendirian, ia mendengar seseorang menyapanya.
“Apa yang kau fikirkan wahai putera?”

Shahzada terkejut kerana tidak ada orang lain di bilik itu. Ia kemudian menyadari bahwa burung bulbulnya yang berbicara. “Subhanallah, ini pasti mukjizat Allah,” fikir Shahzada.

Si putera pun menceritakan perjalanannya untuk menemui Puteri Bisu dan kesukaran mencari  cara untuk membuat sang puteri bercakap.

“Jangan khuatir putera, aku akan membantumu. Sang puteri itu memakai 7 lapis kerudung. Tidak ada seorang pemuda pun yang pernah melihat wajahnya, sang puteri tidak pernah dapat melihat pemuda yang menemuinya,” kata Bulbul.

Bulbul menyambung lagi, “Besok bawalah aku ke istana. Dan apabila kau telah berada di kamar sang puteri, letaklah aku di bawah tiang lampu. Lalu sapalah sang puteri. Ia pasti tidak akan menjawabmu. Nah, katakan bahawa kerana sang puteri tidak mahu menjawab, maka kau akan bercakap dengan tiang lampu saja. Dan aku akan menjawab kata-katamu itu.”

Maka Shahzada, bulbul dan si pengawal pergi menemui ayah Puteri Bisu di istananya. Putera meminta izin untuk mencuba membuat sang puteri bercakap. Shahzada dan bulbul kemudian diantar ke kamar sang Puteri.

“Selamat petang, puteri,” kata Shahzada.

Puteri Bisu tentu saja tidak menjawab.

“Baiklah, oleh kerana puteri tidak sudi menjawab, biar aku bercakap dengan tiang lampu. Mungkin ia lebih punya perasaan daripada kamu,” kata putera.

“Apa khabar?” tanya putera kepada tiang lampu.


“Cukup baik. Setelah bertahun-tahun, akhirnya ada seseorang yang mahu berbual denganku,” kata bulbul seolah-olah tiang lampu yang menjawab. “Allah mengirimmu ke sini dan membuatku bahagia. Mahukah kau mendengar ceritaku?”

“Tentu!” kata Shahzada.

“Alkisah ada seorang Shah yang memiliki seorang puteri. Ada tiga orang pemuda telah melamar  gadis ini kepada Shah. Shah pun berkata mereka bertiga, ‘Sesiapa yang memiliki kebolehan yang luar biasa, maka dia  berhak menikahi puteriku.’

Pemuda-pemuda itu lalu pergi untuk mencari guru. Mereka pergi ke arah yang berlainan. Namun sebelum itu mereka berjanji untuk saling bertemu semula di sebuah mata air setelah sekian bulan.

Pemuda pertama belajar berlari pantas. Jika ia berlari, perjalanan 6 bulan dapat ditempuhnya dalam waktu setengah jam saja.

Pemuda kedua pula belajar cara menghilang. Sementara pemuda ketiga belajar meracik ubat.

Ketiga mereka kembali dalam waktu yang hampir bersamaan. Pemuda yang dapat menghilang mengatakan bahawa puteri Shah sedang sakit kuat dan mungkin akan meninggal 2 jam lagi. Pemuda ketiga segera menyiapkan ramuan dan pemuda pertama secepat kilat membawa ubat itu kepada si gadis.

Ramuan itu sangat mujarab. Si gadis tidak jadi meninggal dan Shah segera memanggil ketiga pemuda tersebut.

Nah tuan putera, menurut kamu pemuda mana yang layak mendapatkan si gadis? Menurutku pemuda yang dapat menghilang.”

“Tidak! Menurutku pemuda yang meracik obatnya,” kata Shahzada.

Mereka pun berdebat dan saling mempertahankan pendapatnya.

Puteri Bisu berkata dalam hatinya, “Tidak ada yang ingat kepada jasa pemuda yang telah mengantarkan ubat itu.”

Akhirnya kerana tidak sabar mendengar perdebatan mereka, Puteri berteriak, “Dasar bodoh! Aku akan memberikan gadis itu kepada si pembawa ubat. Tanpa dia, gadis itu pasti sudah mati!”

Raja segera diberitahu bahawa Puteri Bisu sudah mau bercakap. Namun begitu puteri dengan marah berkata bahawa ia telah ditipu dan ia hanya mahu mengaku kalah jika Shahzada dapat membuatnya bercakap sebanyak tiga kali.

Kerana geram, puteri pun menghancurkan tiang lampu di kamarnya.

Petang berikutnya, Shahzada dan bulbul kembali menemui sang puteri di kamarnya. Kali ini Shahzada meletakan sangkar bulbul dekat dengan salah satu dinding.


“Selamat petang, puteri,” sapa Shahzada.

Puteri tidak menjawab sepatah kata pun.

“Baiklah. Kerana kamu tidak mahu menjawab, mungkin lebih baik jika aku berbual dengan dinding saja. Apa khabarmu dinding?” tanya Shahzada.

“Sangat baik,” jawab bulbul yang pura-pura menjadi dinding. “Aku gembira kau mengajakku berbual. Bagaimana kalau aku menghiburmu dengan sebuah cerita?”

“Dengan senang hati,” kata Shahzada.

“Di sebuah kota tingga seorang wanita yang dicintai oleh 3 orang jejaka sekaligus. Ketiga jejaka itu ialah: Baldji anak si pembuat madu, Jagdji anak si pembuat lemak dan Tiredji anak si penyamak kulit. Mereka sering mengunjungi si wanita, namun ketiga lelaki ini tidak pernah saling bertemu kerana mereka berkunjung pada waktu yang berbeza.

Suatu hari, saat si wanita sedang menyikat rambutnya, ia melihat sehelai uban di kepalanya, ‘Celaka! Aku sudah mulai tua. Aku perlu segera memutuskan dengan siapa aku akan menikah,’ kata si wanita.

Kemudian ia mengundang ketiga teman lelakinya namun pada jam yang berbeza.

Yang pertama datang ialah Jadgji dan ia mendapati wanita pujaannya sedang berurai air mata. Ia bertanya kenapa dan si wanita menjawab, ‘ Ayahku telah meninggal dan aku telah menguburkannya di kebun belakang, tapi arwahnya selalu menghantuiku. Jika kau mencintaiku, mahukah kau berpura-pura menjadi hantu. Pakailah kain kafan ini dan berbaringlah selam 3 jam di kuburan. Maka ia tidak akan menghantuiku lagi.’

Wanita itu menunjuk sebuah lubang kubur yang telah sengaja ia buat dan Jadgji tanpa ragu-ragu memakai kain kafan itu untuk menutupi tubuhnya dan berbaring di dalam lubang kubur tersebut.

Lalu datanglah Baldji yang juga menemukan wanita itu sedang menangis. Si wanita mengulangi ceritanya tentang kematian ayahnya, lalu memberi Baldji sebuah batu besar, ‘Jika hantu itu datang, pukullah dengan batu ini,’ katanya.

Terakhir datanglah Tiredji. Dia juga bertanya kenapa kekasihnya ini menangis. ‘Bagaimana aku tidak sedih,’ kata si wanita. ‘Ayahku telah meninggal dan aku kuburkan di kebun belakang. Tapi rupa-rupanya ia punya musuh iaitu seorang penyihir dan ia mahu mengambil mayat ayahku. Lihat, ia bahkan sudah menggali kuburannya. Jika kau dapat mengambil mayat ayahku maka aku akan selamat tapi jika tidak…’ Si wanita kembali menangis.


Tiredji segera pergi ke kebun belakang untuk mengambil mayat yang tidak lain adalah Jadgji. Namun begitu Baldji berfikir ada dua hantu yang datang lalu ia memukul Jadgji serta Tiredji. Sementara itu Jadgji beranggapan yang hantu ayah si wanitalah yang memukulnya. Ia pun membuang kain kafan yang ia pakai dan menghempap Baldji.

Mereka bertiga terkejut apabila menyadari keadaan yang sebenarnya dan bersama-sama menuntut penjelasan dari si wanita.

Nah putera, menurutmu siapa yang berhak menjadi suami si wanita? Menurutku Tiredji!” kata bulbul.

Menurut Shahzada, Baldji lebih berhak eranaa berada dalam kedudukan yang lebih berbahaya. Mereka berdebat dengan hebat, saling mempertahankan pendapatnya.

Puteri Bisu yang juga mendengarkan cerita bulbul dan sangat kecewa kerana mereka melupakan peranan Jadgji dan ia segera berteriak mengemukakan pendapatnya.

Raja gembira mendengar puterinya bercakap. “Tinggal satu kali anak muda,” katanya pada Shahzada.

Sementara sang puteri sangat kesal kerana sudah dua kali terlepas cakap. Maka untuk melampiaskan amarahnya ia segera memerintahkan supaya dinding tempat bulbul bersandar semalam, dihancurkan.
Hari ketiga dan merupakan hari penentuan, Shahzada dan bulbul kembali datang ke kamar sang puteri. Kali ini Shahzada meletakkan bulbul di belakang pintu kamar puteri. Seperti biasa puteri menolak untuk membuka mulutnya dan kali ini bahkan ia duduk dengan membelakangi Shahzada.

Shahzada pun berpura-pura mengajak pintu berbual-bual. Seperti hari-hari kelmarin, bulbul menceritakan sebuah cerita.

“Alkisah ada seorang tukang kayu, seorang penjahit dan seorang sakti yang berkelana bersama. Di sebuah kota, mereka memutuskan untuk menyewa sebuah kedai dan memulai perniagaan bersama. Suatu malam, saat yang lain sedang tidur, tukang kayu terbangun. Kerana tidak dapat tidur lagi, ia pun mengisi masa dengan memahat sebongkah kayu menjadi sebuah patung wanita yang sangat cantik.

Apabila patungnya selesai, ia mengantuk dan segera pergi tidur. Tidak berapa lama, si penjahit terbangun. Melihat ada sebuah patung wanita cantik di tengah bilik mereka, ia terfikir untuk membuatkan sehelai pakaian yang sangat indah. Setelah selesai, ia menyarungkan pakaian itu kepada patung lalu kembali tidur.

Menjelang pagi, si orang sakti bangun. Ia begitu terpesona melihat sebuah patung wanita cantik dengan berpakaian indah. Maka ia memohon kepada Allah untuk menghidupkan patung tersebut. Allah mengabulkan permintaannya dan patung itu menjelma menjadi seorang wanita yang memikat.

Ketika tukang kayu dan penjahit bangun serta melihat wanita cantik yang berasal dari patung tersebut, mereka berebut kerana masing-masing berasa berhak memilikinya.

Nah putera, pada pendapat kamu, siapa yang paling berhak? Menurutku, tukang kayu,” kata bulbul.

“Tidak mungkin, menurutku si penjahit,” kata Shahzada.

Mereka kembali berdebat dengan hebat. Puteri Bisu bangun dari tempat duduk dan dengan marah ia berteriak, “Kalian semua bodoh! Orang sakti itulah yang paling berhak! Wanita itu berhutang nyawa padanya!”


Dan… ertinya Shahzada sudah berhak menikahi sang puteri kerana ia telah tiga kali memecahkan kebisuan Puteri Bisu. Maka pesta pernikahan pun dilangsungkan selama 40 hari 40 malam. Shahzada mengundang nenek yang ia pecahkan buyungnya untuk tinggal di istana. Mereka semua hidup bahagia.

Sumber asal:

Syair Tengku Delima