(Cerita rakyat Turki )
Pada zaman dahulu ada seorang
Raja yang memiliki seorang putera. Shahzada, begitulah nama putera ini. Beliau memiliki
sebiji bola yang diperbuat daripada emas yang selalu ia mainkan.
Suatu hari semasa putera ini sedang
duduk di wakaf di halaman istana, lalu seorang nenek yang hendak mengambil air
dari mata air yang terletak di depan gerbang istana. Timbul fikiran nakal di
minda sang putera. Dilemparnya buyung nenek tua tadi dengan bola emasnya. Buyung
itu pun pecah berkeping-keping.
Tanpa berkata sepatah pun, nenek
itu pulang mengambil buyung yang lain. Namun buyung ini pun pecah akibat lemparan
bola Shahzada. Nenek tua itu sampai mengeletar menahan marah. Namun kerana
segan dengan sang Raja, maka ia hanya diam dan pergi ke kedai berdekatan untuk membeli
sebuah buyung dengan cara berhutang.
Sekali lagi Shahzada membaling buyung
itu dengan bolanya hingga pecah. Kini nenek itu benar-benar marah. Dia
mengangkat wajahnya ke arah Shahzada.
“Camkan sumpahanku ini putera! Aku harap kau akan jatuh cinta kepada Puteri Bisu!”
“Camkan sumpahanku ini putera! Aku harap kau akan jatuh cinta kepada Puteri Bisu!”
Putera Shahzada tidak faham
maksud nenek tua tersebut, tapi kata-kata itu terus mengganggu fikirannya. Hal
itu sampai memperngaruhi kesihatan si putera, sehingga Shahzada pun jatuh
sakit. Puluhan doktor, tabib dan dukun telah cuba menubatinya, namun kesihatannya
tidak kunjung pulih. Akhirnya suatu malam Raja mendekati putera tunggalnya ini.
“Anakku, penyakitmu pasti bukan
penyakit biasa. Beritahu kepadaku! Apakah kebelakangan ini ada peristiwa aneh
yang menimpamu?”
Shahzada pun menceritakan kelakuannya
semasa memecahkan 3 buyung seorang nenek dan sumpahan yang dilontarkan
kepadanya. Lalu Shahzada meminta izin ayahnya untuk pergi mencari Puteri Bisu, beliau
pasti hanya puteri itu saja yang dapat menyembuhkannya. Dengan berat hati Raja member
izin putera kesayangannya pergi dengan ditemani seorang pengawal yang
dipercayainya.
Dipendekkan cerita, Shahzada dan si
pengawal peribadi sudah mengembara selama enam bulan. Mereka berjalan siang dan
malam dan hanya tidur beberapa saat saja setiap malamnya. Kini mereka tiba di
sebuah puncak gunung di mana tanah dan bebatuannya bersinar seperti cahaya
matahari. Dengan tercengang-cengang mereka bertanya pada seorang tua yang
kebetulan melintas di situ.
Orang tua ini menjawab, “Itu kerana
Puteri bisu. Ia memakai 7 lapis kerudung yang menutupi wajahnya. Namun sinar
kecantikannya tetap memancar dan terpantul di gunung ini.”
“Dimanakah sang puteri berada?” tanya Shahzada.
“Jika kamu terus berjalan lurus selama enam bulan lagi, kamu akan tiba di istananya,” kata orang tua ini. Dia menyambung lagi, “tapi perlu kuingatkan anak muda! Puteri bisu itu hanyalah julukan. Kerana sang puteri sebenarnya tidak mahu bercakap. Banyak sudah pemuda yang mencuba membuatnya berbicara tapi tidak berhasil. Malang bagi mereka, kerana kematianlah yang perlu mereka terima.”
Shahzada tidak gentar mendengar
berita tersebut. Ia tetap bertekad untuk menemui sang Puteri Bisu.
Beberapa waktu kemudian mereka
tiba di puncak gunung lainnya. Gunung ini pun sangat aneh kerana semua tanah
dan bebatuannya berwarna merah darah. Ada sebuah desa tampak terhampar di kaki
gunung tersebut.
“Aku sangat letih,” kata
Shahzada. “Mari kita berehat dulu di desa di bawah sana. Sambil itu boleh kita
beli apa-apa yang perlu sebagai bekalan.”
Mereka pun masuk ke sebuah warung
makan. Pemiliknya menyambut mereka dengan mesra. Shahzada menanyakan kenapa
gunung yang baru saja mereka turuni berwarna merah darah.
“Oh itu kerana Putri Bisu. Meskipun
ia memakai 7 lapis kerudung yang menutupi wajahnya, namun warna bibirnya tetap
terpancar di gunung tersebut,” kata pemilik warung. “Tapi anak muda, sudah
banyak pemuda yang mencuba membuat sang puteri bercakap tapi semuanya tidak berjaya.
Dan kematian adalah hukuman bagi mereka yang gagal.”
“Aku tidak takut,” kata Shahzada. “Katakanlah, berapa jauh lagi istana sang puteri?”
“Tiga bulan perjalanan lagi kau akan sampai di istananya,” kata pemilik warung.
Setelah perjalanan yang sangat meletihkan Putera Shahzada dan pengawalnya
melihat sebuah lagi gunung. Di puncaknya berdirilah istana yang sangat megah. Itulah
istana Puteri Bisu.
Istana Putri Bisu jika dilihat dari dekat ternyata sangat mengerikan kerana dindingnya dibangun dari tulang belulang manusia.
“Kita perlu mengatur rancangan supaya
dapat membuat sang puteri itu bercakap, atau tulang belulang kita ini akan
menjadi bahagian dari dinding istana ini,” kata Shahzada. “Mari kita cari tempat
penginapan terlebih dulu untuk berfikir!”
Esoknya Shahzada dan pengawalnya
pergi berjalan-jalan untuk mencari idea.
Di sebuah pasar ia melihat seekor
burung bulbul yang cantik. Shahzada segera membelinya dan membawanya balik ke bilik.
Suatu ketika saat Shahzada sedang melamun sendirian, ia mendengar seseorang
menyapanya.
“Apa yang kau fikirkan wahai putera?”
“Apa yang kau fikirkan wahai putera?”
Shahzada terkejut kerana tidak
ada orang lain di bilik itu. Ia kemudian menyadari bahwa burung bulbulnya yang
berbicara. “Subhanallah, ini pasti mukjizat Allah,” fikir Shahzada.
Si putera pun menceritakan
perjalanannya untuk menemui Puteri Bisu dan kesukaran mencari cara untuk membuat sang puteri bercakap.
“Jangan khuatir putera, aku akan
membantumu. Sang puteri itu memakai 7 lapis kerudung. Tidak ada seorang pemuda
pun yang pernah melihat wajahnya, sang puteri tidak pernah dapat melihat pemuda
yang menemuinya,” kata Bulbul.
Bulbul menyambung lagi, “Besok
bawalah aku ke istana. Dan apabila kau telah berada di kamar sang puteri, letaklah
aku di bawah tiang lampu. Lalu sapalah sang puteri. Ia pasti tidak akan
menjawabmu. Nah, katakan bahawa kerana sang puteri tidak mahu menjawab, maka
kau akan bercakap dengan tiang lampu saja. Dan aku akan menjawab kata-katamu
itu.”
Maka Shahzada, bulbul dan si pengawal
pergi menemui ayah Puteri Bisu di istananya. Putera meminta izin untuk mencuba
membuat sang puteri bercakap. Shahzada dan bulbul kemudian diantar ke kamar
sang Puteri.
“Selamat petang, puteri,” kata Shahzada.
Puteri Bisu tentu saja tidak menjawab.
“Baiklah, oleh kerana puteri tidak sudi menjawab, biar aku bercakap dengan tiang lampu. Mungkin ia lebih punya perasaan daripada kamu,” kata putera.
“Apa khabar?” tanya putera kepada tiang lampu.
“Cukup baik. Setelah
bertahun-tahun, akhirnya ada seseorang yang mahu berbual denganku,” kata bulbul
seolah-olah tiang lampu yang menjawab. “Allah mengirimmu ke sini dan membuatku
bahagia. Mahukah kau mendengar ceritaku?”
“Tentu!” kata Shahzada.
“Alkisah ada seorang Shah yang memiliki seorang puteri. Ada tiga orang pemuda telah melamar gadis ini kepada Shah. Shah pun berkata mereka bertiga, ‘Sesiapa yang memiliki kebolehan yang luar biasa, maka dia berhak menikahi puteriku.’
Pemuda-pemuda itu lalu pergi
untuk mencari guru. Mereka pergi ke arah yang berlainan. Namun sebelum itu
mereka berjanji untuk saling bertemu semula di sebuah mata air setelah sekian
bulan.
Pemuda pertama belajar berlari pantas.
Jika ia berlari, perjalanan 6 bulan dapat ditempuhnya dalam waktu setengah jam
saja.
Pemuda kedua pula belajar cara
menghilang. Sementara pemuda ketiga belajar meracik ubat.
Ketiga mereka kembali dalam waktu
yang hampir bersamaan. Pemuda yang dapat menghilang mengatakan bahawa puteri
Shah sedang sakit kuat dan mungkin akan meninggal 2 jam lagi. Pemuda ketiga
segera menyiapkan ramuan dan pemuda pertama secepat kilat membawa ubat itu
kepada si gadis.
Ramuan itu sangat mujarab. Si
gadis tidak jadi meninggal dan Shah segera memanggil ketiga pemuda tersebut.
Nah tuan putera, menurut kamu pemuda
mana yang layak mendapatkan si gadis? Menurutku pemuda yang dapat menghilang.”
“Tidak! Menurutku pemuda yang meracik obatnya,” kata Shahzada.
Mereka pun berdebat dan saling mempertahankan pendapatnya.
Puteri Bisu berkata dalam
hatinya, “Tidak ada yang ingat kepada jasa pemuda yang telah mengantarkan ubat
itu.”
Akhirnya kerana tidak sabar
mendengar perdebatan mereka, Puteri berteriak, “Dasar bodoh! Aku akan memberikan
gadis itu kepada si pembawa ubat. Tanpa dia, gadis itu pasti sudah mati!”
Raja segera diberitahu bahawa Puteri
Bisu sudah mau bercakap. Namun begitu puteri dengan marah berkata bahawa ia
telah ditipu dan ia hanya mahu mengaku kalah jika Shahzada dapat membuatnya bercakap
sebanyak tiga kali.
Kerana geram, puteri pun menghancurkan
tiang lampu di kamarnya.
Petang berikutnya, Shahzada dan bulbul
kembali menemui sang puteri di kamarnya. Kali ini Shahzada meletakan sangkar bulbul
dekat dengan salah satu dinding.
“Selamat petang, puteri,” sapa
Shahzada.
Puteri tidak menjawab sepatah kata pun.
“Baiklah. Kerana kamu tidak mahu
menjawab, mungkin lebih baik jika aku berbual dengan dinding saja. Apa khabarmu
dinding?” tanya Shahzada.
“Sangat baik,” jawab bulbul yang pura-pura menjadi dinding. “Aku gembira kau mengajakku berbual. Bagaimana kalau aku menghiburmu dengan sebuah cerita?”
“Dengan senang hati,” kata Shahzada.
“Di sebuah kota tingga seorang wanita yang dicintai oleh 3 orang jejaka sekaligus. Ketiga jejaka itu ialah: Baldji anak si pembuat madu, Jagdji anak si pembuat lemak dan Tiredji anak si penyamak kulit. Mereka sering mengunjungi si wanita, namun ketiga lelaki ini tidak pernah saling bertemu kerana mereka berkunjung pada waktu yang berbeza.
Suatu hari, saat si wanita sedang
menyikat rambutnya, ia melihat sehelai uban di kepalanya, ‘Celaka! Aku sudah
mulai tua. Aku perlu segera memutuskan dengan siapa aku akan menikah,’ kata si
wanita.
Kemudian ia mengundang ketiga
teman lelakinya namun pada jam yang berbeza.
Yang pertama datang ialah Jadgji
dan ia mendapati wanita pujaannya sedang berurai air mata. Ia bertanya kenapa
dan si wanita menjawab, ‘ Ayahku telah meninggal dan aku telah menguburkannya
di kebun belakang, tapi arwahnya selalu menghantuiku. Jika kau mencintaiku, mahukah
kau berpura-pura menjadi hantu. Pakailah kain kafan ini dan berbaringlah selam
3 jam di kuburan. Maka ia tidak akan menghantuiku lagi.’
Wanita itu menunjuk sebuah lubang
kubur yang telah sengaja ia buat dan Jadgji tanpa ragu-ragu memakai kain kafan
itu untuk menutupi tubuhnya dan berbaring di dalam lubang kubur tersebut.
Lalu datanglah Baldji yang juga
menemukan wanita itu sedang menangis. Si wanita mengulangi ceritanya tentang
kematian ayahnya, lalu memberi Baldji sebuah batu besar, ‘Jika hantu itu
datang, pukullah dengan batu ini,’ katanya.
Terakhir datanglah Tiredji. Dia
juga bertanya kenapa kekasihnya ini menangis. ‘Bagaimana aku tidak sedih,’ kata
si wanita. ‘Ayahku telah meninggal dan aku kuburkan di kebun belakang. Tapi rupa-rupanya
ia punya musuh iaitu seorang penyihir dan ia mahu mengambil mayat ayahku.
Lihat, ia bahkan sudah menggali kuburannya. Jika kau dapat mengambil mayat
ayahku maka aku akan selamat tapi jika tidak…’ Si wanita kembali menangis.
Tiredji segera pergi ke kebun
belakang untuk mengambil mayat yang tidak lain adalah Jadgji. Namun begitu
Baldji berfikir ada dua hantu yang datang lalu ia memukul Jadgji serta Tiredji.
Sementara itu Jadgji beranggapan yang hantu ayah si wanitalah yang memukulnya.
Ia pun membuang kain kafan yang ia pakai dan menghempap Baldji.
Mereka bertiga terkejut apabila
menyadari keadaan yang sebenarnya dan bersama-sama menuntut penjelasan dari si
wanita.
Nah putera, menurutmu siapa yang berhak menjadi suami si wanita? Menurutku Tiredji!” kata bulbul.
Menurut Shahzada, Baldji lebih berhak
eranaa berada dalam kedudukan yang lebih berbahaya. Mereka berdebat dengan
hebat, saling mempertahankan pendapatnya.
Puteri Bisu yang juga
mendengarkan cerita bulbul dan sangat kecewa kerana mereka melupakan peranan
Jadgji dan ia segera berteriak mengemukakan pendapatnya.
Raja gembira mendengar puterinya
bercakap. “Tinggal satu kali anak muda,” katanya pada Shahzada.
Sementara sang puteri sangat
kesal kerana sudah dua kali terlepas cakap. Maka untuk melampiaskan amarahnya
ia segera memerintahkan supaya dinding tempat bulbul bersandar semalam,
dihancurkan.
Hari ketiga dan merupakan hari
penentuan, Shahzada dan bulbul kembali datang ke kamar sang puteri. Kali ini
Shahzada meletakkan bulbul di belakang pintu kamar puteri. Seperti biasa puteri
menolak untuk membuka mulutnya dan kali ini bahkan ia duduk dengan membelakangi
Shahzada.
Shahzada pun berpura-pura
mengajak pintu berbual-bual. Seperti hari-hari kelmarin, bulbul menceritakan
sebuah cerita.
“Alkisah ada seorang tukang kayu,
seorang penjahit dan seorang sakti yang berkelana bersama. Di sebuah kota,
mereka memutuskan untuk menyewa sebuah kedai dan memulai perniagaan bersama.
Suatu malam, saat yang lain sedang tidur, tukang kayu terbangun. Kerana tidak
dapat tidur lagi, ia pun mengisi masa dengan memahat sebongkah kayu menjadi
sebuah patung wanita yang sangat cantik.
Apabila patungnya selesai, ia
mengantuk dan segera pergi tidur. Tidak berapa lama, si penjahit terbangun.
Melihat ada sebuah patung wanita cantik di tengah bilik mereka, ia terfikir
untuk membuatkan sehelai pakaian yang sangat indah. Setelah selesai, ia
menyarungkan pakaian itu kepada patung lalu kembali tidur.
Menjelang pagi, si orang sakti
bangun. Ia begitu terpesona melihat sebuah patung wanita cantik dengan berpakaian
indah. Maka ia memohon kepada Allah untuk menghidupkan patung tersebut. Allah
mengabulkan permintaannya dan patung itu menjelma menjadi seorang wanita yang memikat.
Ketika tukang kayu dan penjahit
bangun serta melihat wanita cantik yang berasal dari patung tersebut, mereka
berebut kerana masing-masing berasa berhak memilikinya.
Nah putera, pada pendapat kamu,
siapa yang paling berhak? Menurutku, tukang kayu,” kata bulbul.
“Tidak mungkin, menurutku si penjahit,” kata Shahzada.
Mereka kembali berdebat dengan
hebat. Puteri Bisu bangun dari tempat duduk dan dengan marah ia berteriak,
“Kalian semua bodoh! Orang sakti itulah yang paling berhak! Wanita itu
berhutang nyawa padanya!”
Dan… ertinya Shahzada sudah
berhak menikahi sang puteri kerana ia telah tiga kali memecahkan kebisuan
Puteri Bisu. Maka pesta pernikahan pun dilangsungkan selama 40 hari 40 malam.
Shahzada mengundang nenek yang ia pecahkan buyungnya untuk tinggal di istana.
Mereka semua hidup bahagia.
Sumber asal: